Tuesday, February 5, 2008

La Tahzan....

Posted by Dyg Mimie Affizie at Tuesday, February 05, 2008
Buku La Tahzan ini adalah antara buku motivasi islamik yang popular dan telah diterbitkan dalam banyak bahasa di seluruh dunia. Ia amat berguna untuk diriku... AKu akui ada kalanya sayu mengundang air mata namun aku segera tersedar bahawa itu semua adalah kenangan yang tidak mampu ku ubah. Aku pasrah dengan ketentuanNya kerana aku yakin ada hikmah disebaliknya.
Tiap kali berduka, mata ku segera tertacap ke arah meja dimana ku simpan La' Tahzan. Acap kali ku pejamkan mata sambil berdoa kepadaNya mengharapkan hati ini terus cekal. Cekal dalam menempuh dugaanNya yang datang bersilih ganti. Bait bait bahasa di dalam La' Tahzan banyak menyedarkan aku.
Membangkitkan aku dari lamunan yang suatu ketika dulu telah terhentinya perjalanan waktu. Aku temui ketenangan yang ku cari biar pun bukan dalam erti kata yang sebenar. Insya Allah dengan berkat, hidayah dan izinNya aku akan temui noktah perjalanan ku ini suatu masa nanti. Akan ku terus panjatkan doa untukNya selagi nadi ini berdenyut dan jantung masih berdegup.

BAGAIMANA MENCARI KETENANGAN JIWA
Berbagai cara dan bentuk usaha manusia dalam mencari ketenangan jiwa. Ada antara mereka yang mencari ketenangan jiwa itu dengan melancung, makan angin, bersukan, merekaseni melukis dan sebagainya.Ada pula sebilangan orang mendapat kelapangan hati dan terhibur dengan cara bergaul dengan manusia, berinteraksi sesama mereka serta melihat keindahan alam. Ada juga yang mencari ketenangan jiwa itu dengan beribadat seperti membaca Al-Qur`an, berzikir, bersembahyang dan sebagainya. Tanpa ketenangan jiwa manusia akan menghadapi banyak risiko bahkan ia akan mendatangkan penyakit jiwa seperti rungsing, resah gelisah dan yang lebih parah lagi kemungkinan besar boleh menyebabkan seseorang itu tidak dapat membuat pertimbangan.
Dalam mencari ketenangan jiwa seseorang itu hendaklah berpandukan syarak supaya ia jangan terbabas. Ketenangan jika dengan melalui permainan, bersuka ria, dengan lagu-lagu, musik, tari menari, berpesta karaoke atau seumpamanya hanyalah bersifat sementara, bahkan akibatnya akan bertambah-tambah parah. Hanya masa sahaja yang akan menentukannya.
Sudah menjadi fitrah manusia suka berhibur dengan kesenangan dunia seperti bersenang-senang dengan kemewahan, harta benda, anak pinak, bermain, makan minum, pakai dan sebagainya. Bahkan kehidupan dunia juga merupakan pentas permainan dan hiburan bagi manusia.
Firman Allah Subhanahu wa Ta`ala yang tafsirnya :"Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan". (Surah Al-An`am: 32)
FirmanNya lagi yang tafsirnya :"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan". (Surah Al-Ruum: 21)
Dengan adanya ketenangan jiwa akan memudahkan seseorang itu mengingati Allah dan melakukan ibadat kepadaNya kerana tujuan asal manusia itu diciptakan ialah untuk sentiasa menyembah Allah Subahanahu wa Ta`ala. Hal ini ditegaskan oleh Allah Subahanahu wa Ta`ala dalam Al-Qur`an yang tafsirnya : "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu"(Surah Al-Zariat: 56)

0 comments on "La Tahzan...."

 

Searching For "Silver Lining" Copyright © 2009 Paper Girl is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal